Institut Profesional Baitulmal (IPB) bakal menawarkan empat program pengajian baru iaitu Diploma Pengurusan Haji dan Umrah, Diploma Zakat dan Wakaf, Diploma Pengurusan Produk Halal dan Diploma Muamalat (kewangan Islam) pada bulan Januari tahun depan.
Setakat ini Diploma Pengurusan Haji dan Umrah sudah pun mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) manakala tiga lagi program dalam proses kelulusan agensi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif IPB, Dr. Syed Omar Syed Agil memberitahu, Diploma Pengurusan Haji dan Umrah serta Diploma Zakat dan Wakaf adalah yang pertama seumpamanya ditawarkan di Malaysia dan di dunia.
“IPB menawarkan kursus-kursus ini untuk memastikan kami bersedia untuk menyediakan pasaran kerja dalam pasaran khusus (niche market).
“Kami tidak mahu bersaing tanpa sebab, sebaliknya menawarkan bidang-bidang yang menjadi keperluan kepada industri pekerjaan,” katanya dalam satu pertemuan dengan MalaysiaGazette di pejabatnya di sini.
Modul-modul pengajian baru itu dirangka oleh IPB berdasarkan pengalaman akademi dan industri. Dr. Syed Omar berkata, untuk pengambilan pertama, IPB merancang kemasukan 30 penuntut bagi setiap kursus pengajian yang dijangka mengambil masa dua tahun.
IPB yang sudah beroperasi selama 21 tahun lalu setakat ini menawarkan program usahasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Perakaunan, Diploma Sistem Maklumat Perakaunan, Diploma Sains Komputer dan pra perdagangan.
Selain itu, pusat pengajian swasta yang dimiliki oleh Majlis Islam Wilayah Persekutuan itu turut menawarkan Sijil Perakaunan Teknikal (CAT) dan Sijil Kelayakan Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa London (LCCIIQ). – MalaysiaGazette
Sumber : MalaysiaGazette.com