[dropcap type=”circle” color=”#ffffff” background=”#f16636″]KPBKL[/dropcap]
Online, 31 Oktober 2019- Pagi tadi telah berlangsung Majlis Pelancaran Food Bank YaPEIM 1.0 Peringkat Nasional yang telah dirasmikan oleh YB Puan Hajjah Fuziah Binti Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dataran Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur MAIWP. Program Food Bank YaPEIM ini merupakan satu inisiatif daripada pihak YaPEIM untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung golongan isi rumah berpendapatan B40 dan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang keluarganya berpendapatan B40.
Seramai 410 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar KPB (MAIWP), Universiti Islam Malaysia (UIAM) dan Kolej Antarabangsa PICOMS telah menerima bantuan makanan Ready to Eat pada hari ini. Manakala seramai 10 orang wakil daripada 1950 penerima mewakili 65 PPRT Wilayah Persekutan Kuala Lumpur telah menerima bantuan Dry Food.
YB Timbalan Menteri juga telah menyampaikan Anugerah Biasiswa Luqmanul Hakim kepada dua orang pelajar Diploma Pengajian Haji dan Umrah KPB (MAIWP) iaitu Muhammad Zahrin Hanafi Bin Zakaria dan Aisyah Binti Mohd Akhir. Biasiswa ini telah disumbangkan oleh seorang hamba Allah yang tidak mahu identitinya didedahkan yang berjumlah RM15,000 bagi membiayai yuran pengajian.
Dalam majlis ini juga telah berlangsung simbolik penyerahan Sijil Perakuan Kelayakan 3 Unit Lif Asrama oleh YBhg. Datuk Haji Abdul Aziz Bin Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada YBhg. Prof. Dato Dr. Noor Inayah Ya’akub, Rektor KPB MAIWP.
Turut hadir dalam majlis ini adalah YBhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, YBhg. Dato’ Hj Razali Bin Hj Shahabudin, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn Bhd, YBhg. Puan Parihah Binti Hasan, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, YBhg. Dr.Rosli Yaakob, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Kewangan dan barisan pengurusan YaPEIM, MAIWP, KPB dan JAWI.